Friday, August 21, 2009

Menjejak Peribahasa

cari jangan tak cari

susun perkataan-perkataan hingga menjadi peribahasa yang betul

sempat lagi berposingtu!
kita cari dulu jawapan baru pergi ke tempat seterusnya
sibuk mencari klu seterusnya
Semua peserta dilepaskan di perkarangan luar PSS
Pertandingan ini diadakan sempena Minggu Bahasa dan Bulan Membaca. Murid-murid dikehendaki menjejak peribahasa yang tersembunyi dan mereka dikehendaki melengkapkannya berdasarkan kehendak soalan. Ada enam tempat klu disembunyikan, maka berlari-larilah mereka untuk mendapatkan klu dan mengejar masa.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua AJK Persatuan Bahasa Melayu yang bertungkus-lumus menyiapkan bahan.


Peribahasa yang terdapat dalam buku teks

Senarai Peribahasa dalam Buku teks Tingkatan 4

1. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

2. Darah daging
Maksud : Anak dan saudara-mara daripada keturunan sendiri.

3. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.

4. meninggi diri
Maksud : Sombong

5. bermuka dua
Maksud : Tidak jujur.

6 baik hati
Maksud : Bersikap baik dan penyayang (suka menolong).

7. tulang belakang
Maksud : Punca kekuatan/ orang harapan

8. bara yang digenggam biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.

9. bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.

10. melentur buluh biarlah dari rebungnya
Maksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.

11. duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
Maksud : dua orang atau pihak yang sama darjat dalam adat

12. seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang

13. yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
Maksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.

14. dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud : segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.

15. terang hati
Maksud : Lekas pandai.

16. rendah hati
Maksud : Tidak sombong

17. murah hati
Maksud : Pemurah.

18. tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.

19. Tangan kosong
Maksud : Hampa.


Senarai Peribahasa dalam Buku teks Tingkatan 5



1. lintah darat
Maksud : Peniaga yang mengambil keuntungan yang terlalu tinggi.

2. bagai aur dengan tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.

3. anak dagang
Maksud : Orang luar yang datang menetap di sesuatu tempat

4. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.

5. kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai
Maksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah


6. indah khabar daripada rupa
Maksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan.

7. hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
Maksud : Pengagihan yang sama banyak.

8. bukit sama didaki, lurah sama dituruni
Maksud : Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.

9. kacang lupakan kulit
Maksud : Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan.

10. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Maksud : Menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal.

11. masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
Maksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan

12. ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua
Maksud : kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya..

13. memerah otak
Maksud : Berfikir dengan bersungguh-sungguh.

14. kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Maksud : Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah

15. berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
Maksud : Bersusah payah terlebih dahulu untuk mendapatkan kesenangan pada kemudian hari.

16. yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang
Maksud : Sesuatu benda tidak akan datang tanpa usaha

17. sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
Maksud : Sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga.

18. bak cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud : Terlalu banyak pada sesuatu masa.

19. bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

20. yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran
Maksud : Bernasib malang

21. mencari jalan
Maksud : Berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara.

22. biar mati anak, jangan mati adat
Maksud : orang yang kuat perpegang pada adat.

23.sediakan payung sebelum hujan
Maksud : Berjaga-jaga dulu sebelum mendapat sesuatu bencana.

24. berbesar hati
Maksud : Gembira.

25. anak buah
Maksud : a. Anak saudara. b. Pekerja di bawah jagaan kita.

26. tuan rumah
Maksud : tempat berlangsungnya sesuatu acara

27. yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.

28. batu penghalang
Maksud : Halangan

29 untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan
Maksud : orang lelaki yang merisik bakal isterinya.

30. bagai ikan pulang ke lubuk
Maksud : a. Orang yang pulang ke tempat asal. b. Kehidupan yang senang.
kerana setelah memperoleh sesuatu, tetapi yang sudah di tangan hilang pula.

Soalan KOMSAS yang belum keluar SPM

Antara tajuk-tajuk yang belum keluar dalam peperiksaan SPM (KOMSAS)

Cerpen/Drama
1. Virus Zel Untuk Abah
2. Lambaian Malar Hijau
3. Drama : Serunai Malam
4. Annyss Sophilea

Prosa Klasik
1. Sabor
2. Kepahlawanan Tun Beraim Bapa ( dah lima tahun tak keluar)

Puisi
1.Duhai Pentaksir
2.Diruang gemanya
3.Anak Laut
4.Derita Pertama
5.Jalan-jalan raya kotaku

Khas buat murid 5KM3 dan 5A3, jika nak dapatkan latihan tajuk-tajuk di atas sempena musim cutini, sila email cikgu.

Cemerlang, Gemilang dan Terbilang


sekadar gambar hiasan

Cuti sekolah seminggu masing-masing mempunyai agenda. Selepas cuti, pepriksaan percubaan SPM akan bermula...sepatutnya seminggu cuti itu diperuntukkan masa untuk mengulangkaji subjek-subjek yang lemah.
Berapa orang yang berjumpa dengan guru meminta tugasan untuk dilakukan semasa cuti?
Tepuk dada tanyalah selera. Bagaimana hendak mencipta kecemerlangan dalam peperiksaan?

Ciri-ciri hendak mencipta kecemerlangan ialah mengeratkan hubungan dengan Tuhan (Allah). Banyakkan amalan sentiasa berdoa supaya apa yang dipelajari mudah diingat, dan akan keluar dalam peperiksaan, mempunyai cita-cita dan matlamat hidup supaya mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan. Bersikap positif ( mencari jalan bukan mencari alasan ), Berakhlak mulia,

berdisiplin dan menepati masa. 'Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya'



Anda pasti mampu insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.



Thursday, August 20, 2009

BULAN MEMBACA 2009

Akhirnya, inilah wajah-wajah pemenang 'Pertandingan Regu Bahasa Isyarat'


Apalah yang cuba diisyaratkan oleh Fikri

Maaflah, kerana agak lewat memuatkan gambar-gambar 'Bulan Membaca' dalam blog ini.
sibuk dengan pelbagai tugasan menyebabkan masa agak terbatas.

penanda wacana- pendahuluan karangan

PENANDA WACANA UNTUK MEMULAKAN AYAT PENDAHULUAN KARANGAN

• Sedasarwasa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini tentang isu …
• Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah ….
• Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat.
• Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan sosial yang beronal yang dicetuskan oleh rakyat kita sendiri.
• Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini …
• Sejak dua dan tiga dekad kebelakangan ini memang kita dapat menyaksikan …

Dipetik daripada blog

Monday, August 3, 2009

Pentingnya Ilmu


Sesungguhnya ilmu itu ialah belajar, dan kefahaman itu apabila ada usaha memperdalam kefahaman. Tuntutlah ilmu selagi nyawa dikandung badan.