Soalan: Malaysia merupakan antara negara yang mencatatkan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya yang tertinggi di dunia. Apakah langkah-langkah yang wajar diambil bagi menyedarkan pengguna jalan raya yang hilang kesusilaan ketika memandu.
Banyak slogan yang telah disarankan oleh kerajaan untuk menyedarkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati semasa memandu seperti “Jangan biarkan keluarga anda menunggu dalam tangisan” dan “Jangan jadikan jalan raya sebagai tempat berlumba”. Namun, didapati tidak banyak pengguna jalan raya yang betul-betul memahami seruan kerajaan tersebut. Kini, Malaysia telah disenaraikan sebagai salah sebuah negara yang mencatat jumlah kematian tertinggi akibat kemalangan jalan raya. Hal ini merupakan satu keaiban bagi seluruh penduduk di Malaysia. Oleh itu, langkah-langkah yang wajar perlu diambil bagi menyedarkan pengguna mengenai perkara ini
“Kemalangan Sifar” merupakan slogan yang baru dilancarkan oleh kerajaan kita baru-baru ini. Slogan tersebut merupakan satu lagi langkah kerajaan untuk menginsafkan pengguna jalan raya yang memandu di jalan raya secara tidak sopan. Walaupun agak sukar untuk mendapatkan kemalangan sifar namun kita berharap kempen yang dijalankan itu akan dapat mengurangkan angka kematian yang amat membimbangkan itu.
Sementara itu, Jabatan Polis Bukit Aman pula telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa kebanyakan pengguna jalan raya di negara kita lebih takut menerima surat saman daripada takut akan maut di jalan raya. Oleh itu, dendaan melalui saman yang dikeluarkan serta penggantungan lesen memandu merupakan salah satu cara yang berkesan untuk mengurangkan jumlah pemandu yang hilang kesusilaan di jalan raya.. Operasi seperti “ops pacak” yang dijalankan oleh pihak polis ketika musim perayaan baru-baru ini sepatutnya dijalankan secara berterusan kerana operasi tersebut didapati berjaya mengurangkan kadar kemalangan yang sering berlaku di tempat-tempat yang telah dikenal pasti.
Dalam perkembangan yang lain, kemalangan juga didapati banyak berlaku akibat pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk. Hal ini jelas kerana seseorang yang dipengaruhi minuman keras tidak akan dapat membuat agakan yang tepat dan sering hilang pertimbangan serta tidak pasti arah tuju kenderaan yang dipandunya akibat pemandangan yang kabur. Dalam hal ini, sekatan jalan raya sepatutnya diadakan secara berterusan terutamanya selepas jam 12 tengah malam. Hal ini demikian kerana pemandu yang mabuk selalunya berada di jalan raya ketika itu kerana baru keluar dari kelab malam atau pusat-pusat hiburan yang lain. Pemeriksaan kandungan alkohol melalui pernafasan sepatutnya dijalankan dengan lebih berhati-hati agar tidak ada sesiapa yang terlepas daripada peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.
Walaupun negara kita mempunyai undang-undang untuk mengawal pemandu yang tidak bersopan, namun pada pendapat saya, kesedaran dalam diri pemandu itu sendiri merupakan langkah yang paling berkesan untuk mengelakkan kemalangan. Dengan perkataan lain, pengguna jalan raya hendaklah mempunyai kesedaran sivik. Mereka sepatutnya sedar sikap mereka yang tidak bersopan ketika di jalan raya itu akan menyebabkan keluarga mereka menanggung sensara. Bayangkanlah seorang anak yang kehilangan ibu bapa, isteri yang kehilangan suami, atau penderitaan akibat kecacatan yang kekal sepanjang hayat; semua itu tidak setimpal dengan keseronokan yang bersifat sementara akibat menurut hawa nafsu.
Sebagai warga negara pula, kita tidak mahu mencemarkan nama negara kita sebagai negara yang mempunyai pengguna jalan raya tidak bersopan yang terbanyak. Kita juga tidak mahu nama Malaysia dicatat sebagai negara yang mempunyai kematian terbanyak akibat kemalangan jalan raya. Oleh itu langkah-langkah yang wajar seperti yang telah dibincangkan hendaklah dilaksanakan segera. Sementara itu pemandu yang hilang kesusilaan hendaklah segera sedar dan cuba membaiki kelemahan mereka kerana saya yakin kita tidak mahu keluarga kita menunggu kepulangan kita dengan tangisan. Sedarlah demi keluarga anda yang tercinta!!
sumber :
http://www.geocities.com/burnskot/tutorial/kemalanganjalanraya.htm
http://www.geocities.com/burnskot/tutorial/kemalanganjalanraya.htm
TUSCALARTS AT HANDICAP - Titanium Comb - ITALIAN ART
ReplyDeleteTUSCALARTS AT HANDICAP. oakley titanium sunglasses Our 2020 edge titanium Tuscany Tile was created titanium ring for men by Tuscany artists in 2010 and it is titanium stud earrings now the most unique ceramic tile designed in the world.$8.99 · dewalt titanium drill bit set In stock