Thursday, October 22, 2009

MELAYU HARI INI


sekadar gambar hiasan

Di mana boleh cari ramai Melayu
Pastinya di Kelantan dan Terengganu
Dan juga di pasar malam dan pasar minggu
Di Akademi Fantasia dan Pesta Lagu
Di Jom Heboh orang Melayu berpusu-pusu
Di Sungai Buloh, pusat pemulihan , dulu di Pudu
Dan di jalan, lumba haram , rempit tak berlampu
Dan di selekoh duit rasuah depa pun sapu
Di pusat serenti akibat ketagih dadah dan candu
Di malam kemerdekaan dan malam tahun baru
Terkinja-kinja best giler menari macam hantu


Apa hobi orang Melayu
Terkenal dengan budaya malas dan lesu
Berlepak buang masa tak jemu-jemu
Tengok telenovela dari Filipina dan Peru
Berpusu-pusu pergi tengok pameran hantu
Sambil makan junk food, kuaci dan muruku
Sibuk bercerita tentang Datuk K dapat bini baru
Apa pakaian Siti nak pakai itu pun nak tahu
Mana tak gendut berpenyakit selalu
Kalau nak berlagak Melayu masih nombor satu
Asal bergaye sanggup makan nasi dan tokyu


Boleh tak jumpa Melayu di kedai buku?
Atau di perpustakaan dan majlis ilmu
Atau ambil kelas kemahiran di hujung minggu
Ada jugak tapi kurang sangat mereka di situ
Kenapa Melayu jadi begitu?
Nak salahkan siapa ibubapa atau guru
Pemimpin negara atau raja dulu-dulu
Ayat lazim di mulut ialah Melayu malas selalu
Nak harap Kerajaan saja membantu
Terutama sekali kontraktor kelas satu
Tak habis-habis gaduh nak jatuh siapa dulu
pasal jambatan bengkok atau siapa dia penghulu
Dan suka sangat dengan budaya ampu mengampu
Sampai bila kita nak tunggu
Bangsa Melayu jadi bangsa yang maju
Boleh! dengan beberapa syarat tertentu
Pertama dengan banyak menguasai ilmu
Kata Nabi ikutlah Quran dan sunnah ku
AlQuran yang diturunkan 1400 tahun dahulu
tapi apa yang kita tahu, cuma baca bila nak halau hantu!!!!

Karya Shuhaimi Sulaiman
Dipetik daripada  http://galusbm.blogspot.com
Blog Cikgu Abd Razak Bin Hassan

Tuesday, October 20, 2009

ULBS : KEJUARAAN LIGA-LIGA JUARA EROPAH

Gambar ini diambil sewaktu ULBS dijalankan, walaupun pada mulanya mereka teragak-agak untuk melakukannya tetapi kerana isu yang ketengahkan diminati oleh kesemua ahli forum maka semuanya berjalan dengan lancar. Ahli forum terbaik dianugerahkan kepada Wan Mohammad Asri b Wan Azmy kerana kepetahan berkata-kata pada petang tersebut. Sebagai pengulas sukan yang profesional, mereka berjaya melakukannya dengan baik.



Hal ini menunjukkan bahawa jika kita berusaha untuk melakukan sesuatu dengan baik, maka hasilnya tentu baik. Apa yang penting perancangan untuk melakukannya secara berpasukan. Tahniah diucapkan kepada kumpulan ini.

Selain itu, kumpulan ini juga patut diberikan ucapan tahniah kerana info yang disampaikan begitu baik. Tajuk forum kumpulan ini ialah ' Khasiat susu', cuma suara perlu lebih jelas.


Azwani menyampaikan khasiat meminum susu untuk kesihatan

Monday, October 19, 2009

Jamuan Hari Raya Aliran Pengajian Keusahawanan

Pada hari Rabu, 14/10/2009, satu majlis 'rumah terbuka' murid aliran Pengajian Keusahawanan telah diadakan di Bilik Pengajian Keusahawanan. Guru-guru yang mengajar kelas aliran ini telah dijemput memeriahkan majlis. Berikut antara gambar kenangan yang sempat dirakamkan.


ada lemang, rendang ayam, laksa, dan lain-lain


Kak Pah dan rakan-rakan antara yang melayan tetamu


sedap nampaknya makan yang terhidang



Terima kasih kepada semua murid yang menjemput dan memberikan layanan sangat baik semasa jamuan.

Sunday, October 18, 2009

KEMALANGAN JALAN RAYA





Soalan: Malaysia merupakan antara negara yang mencatatkan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya yang tertinggi di dunia. Apakah langkah-langkah yang wajar diambil bagi menyedarkan pengguna jalan raya yang hilang kesusilaan ketika memandu.


Banyak slogan yang telah disarankan oleh kerajaan untuk menyedarkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati semasa memandu seperti “Jangan biarkan keluarga anda menunggu dalam tangisan” dan “Jangan jadikan jalan raya sebagai tempat berlumba”. Namun, didapati tidak banyak pengguna jalan raya yang betul-betul memahami seruan kerajaan tersebut. Kini, Malaysia telah disenaraikan sebagai salah sebuah negara yang mencatat jumlah kematian tertinggi akibat kemalangan jalan raya. Hal ini merupakan satu keaiban bagi seluruh penduduk di Malaysia. Oleh itu, langkah-langkah yang wajar perlu diambil bagi menyedarkan pengguna mengenai perkara ini

“Kemalangan Sifar” merupakan slogan yang baru dilancarkan oleh kerajaan kita baru-baru ini. Slogan tersebut merupakan satu lagi langkah kerajaan untuk menginsafkan pengguna jalan raya yang memandu di jalan raya secara tidak sopan. Walaupun agak sukar untuk mendapatkan kemalangan sifar namun kita berharap kempen yang dijalankan itu akan dapat mengurangkan angka kematian yang amat membimbangkan itu.


Sementara itu, Jabatan Polis Bukit Aman pula telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa kebanyakan pengguna jalan raya di negara kita lebih takut menerima surat saman daripada takut akan maut di jalan raya. Oleh itu, dendaan melalui saman yang dikeluarkan serta penggantungan lesen memandu merupakan salah satu cara yang berkesan untuk mengurangkan jumlah pemandu yang hilang kesusilaan di jalan raya.. Operasi seperti “ops pacak” yang dijalankan oleh pihak polis ketika musim perayaan baru-baru ini sepatutnya dijalankan secara berterusan kerana operasi tersebut didapati berjaya mengurangkan kadar kemalangan yang sering berlaku di tempat-tempat yang telah dikenal pasti.


Dalam perkembangan yang lain, kemalangan juga didapati banyak berlaku akibat pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk. Hal ini jelas kerana seseorang yang dipengaruhi minuman keras tidak akan dapat membuat agakan yang tepat dan sering hilang pertimbangan serta tidak pasti arah tuju kenderaan yang dipandunya akibat pemandangan yang kabur. Dalam hal ini, sekatan jalan raya sepatutnya diadakan secara berterusan terutamanya selepas jam 12 tengah malam. Hal ini demikian kerana pemandu yang mabuk selalunya berada di jalan raya ketika itu kerana baru keluar dari kelab malam atau pusat-pusat hiburan yang lain. Pemeriksaan kandungan alkohol melalui pernafasan sepatutnya dijalankan dengan lebih berhati-hati agar tidak ada sesiapa yang terlepas daripada peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.


Walaupun negara kita mempunyai undang-undang untuk mengawal pemandu yang tidak bersopan, namun pada pendapat saya, kesedaran dalam diri pemandu itu sendiri merupakan langkah yang paling berkesan untuk mengelakkan kemalangan. Dengan perkataan lain, pengguna jalan raya hendaklah mempunyai kesedaran sivik. Mereka sepatutnya sedar sikap mereka yang tidak bersopan ketika di jalan raya itu akan menyebabkan keluarga mereka menanggung sensara. Bayangkanlah seorang anak yang kehilangan ibu bapa, isteri yang kehilangan suami, atau penderitaan akibat kecacatan yang kekal sepanjang hayat; semua itu tidak setimpal dengan keseronokan yang bersifat sementara akibat menurut hawa nafsu.

Sebagai warga negara pula, kita tidak mahu mencemarkan nama negara kita sebagai negara yang mempunyai pengguna jalan raya tidak bersopan yang terbanyak. Kita juga tidak mahu nama Malaysia dicatat sebagai negara yang mempunyai kematian terbanyak akibat kemalangan jalan raya. Oleh itu langkah-langkah yang wajar seperti yang telah dibincangkan hendaklah dilaksanakan segera. Sementara itu pemandu yang hilang kesusilaan hendaklah segera sedar dan cuba membaiki kelemahan mereka kerana saya yakin kita tidak mahu keluarga kita menunggu kepulangan kita dengan tangisan. Sedarlah demi keluarga anda yang tercinta!!


sumber :
http://www.geocities.com/burnskot/tutorial/kemalanganjalanraya.htm

Tuesday, October 13, 2009

GRED BARU UNTUK SPM 2009

Mulai dari tahun ini, murid-murid yang mengambil peperiksaan SPM akan dInilai dengan gred yang baru. Penggredannya adalah seperti berikut



PENGGREDAN SPM 2009

GRED SEDIA ADA
GRED BARU
-
A+
1A
A
2A
A-
3B
B+
4C
B
5C
C+
6C
C
7D
D
8E
E
9G
G

Semoga berjaya!!




Tuesday, October 6, 2009

Membina Peribadi Waktu Makan





Sekadar berkongsi email yang diterima mengenai Membina Peribadi Sewaktu Makan. Mudah-mudahan dapat dimanfaatkan dalam kehidupan.


Pakar motivasi bebas Ustaz Sobri Abd. Rani menyarankan agar ibu
bapa menjadikan waktu makan sekeluarga sebagai waktu untuk
membetulkan kehidupan atau membina peribadi anak-anak. Kerana waktu makan adalah program bersahaja yang besar impaknya dalam hidup.
Antara didikan yang boleh diterapkan kepada anak-anak pada waktu makan:

1. Tunggu orang yang paling tua

"Kalau ada ayah, suapan pertama hendaklah dimulakan oleh ayah. Kalau tidak ada ayah, emak dulu. Rahsia di sebaliknya, bila dikekalkan begitu selama tiga bulan, akan tumbuh di hati anak rasa hormat kepada yang lebih tua walaupun di luar pandangan kita. Jadi kalau kita hendak tahu macam mana anak kita di luar pandangan kita, tengok waktu makan."


2. Baca bismalah dan guna tangan kanan

"Anak kita tidak akan sanggup untuk memasukkan makanan ke mulut atau memegang sesuatu yang bukan haknya. Yang biasa dia ambil masuk ke mulut dengan nama Allah dan biasa memegang yang halal dengan tangan kanan. Melalui amalan yang mudah ini, roh kita dimonitor oleh syariat. Amalan ini tak perlu pada tenaga dan wang ringgit yang banyak tapi perlu pada kesabaran dan istiqamah."


3. Ambil lauk terdekat dulu


"Bagi cubitan lauk yang pertama, ambil yang paling dekat. Kenapa?
Melatih sabar. Kali kedua jika hendak ambil yang jauh tak mengapa,
itu dikira usaha ikhtiar untuk dapat yang lebih baik. Ia
mempengaruhi corak kehidupan dan corak kita bekerja.

"Kalau ayah atau ibu hendak membina sifat penyayang, ambil lauk yang pertama letak di pinggan anak. Memang anak akan rasa lain. Kalau dia tak mahu lauk itu tak mengapa tapi kita memberi tu yang mustahak.
Kalau kita buat macam itu, dia juga akan jadi macam itu pada orang
lain. Kita sudah bina masyarakat penyayang di dalam rumah kita.
Malah untuk latih anak cinta pada saudaranya yang lain, itulah
waktunya."


4.    Kawal suapan

"Bila ambil makanan untuk suap ke mulut, jangan diangkat suapan
seterusnya selagi di dalam mulut itu belum ditelan. Sesudah ditelan,
baru angkat suapan seterusnya masuk ke mulut. Untuk apa? Melatih
jangan tamak dan bersifat qanaah ? mencukupi apa yang ada. Atau
lebih tepat, melatih syukur terhadap apa yang Allah kurniakan."
Ustaz Sobri berkata, "Perkara ini kalau dilatih betul-betul, ia
akan menumbuhkan sifat-sifat mulia di dalam diri. Sebab makan adalah perkara yang kita benar-benar buat dengan hati, sebab itu ia
mempengaruhi roh."


   

Thursday, October 1, 2009

Pantun Peribahasa










Berakit-rakit ke hulu
Berenang-renang ke tepian
Bersakit-sakit dahulu
Bersenang-senang kemudian


Ke hulu memotong pagar
Jangan terpotong batang durian
Cari guru tempat belajar
Jangan jadi sesal kemudian


Kerat-kerat kayu di ladang
Hendak dibuat hulu cangkul
Berapa berat mata memandang
Berat lagi bahu memikul


Harapkan untung menggamit
Kain di badan didedahkan
Harapkan guruh di langit
Air tempayan dicurahkan


Pohon pepaya didalam semak
Pohon manggis sebesar lengan
Kawan tertawa memang banyak
Kawan menangis diharap jangan

Dipetik daripada : Majalah Pelita Bahasa